Tuesday, 17 May 2011

Mencari Bintang Masyhur 1Malaysia

Sinopsis Bintang Masyhur 1Malaysia
Pada 28 & 29 Mei 2011, hari Sabtu dan Ahad bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang akan diadakan program mencari bakat nyanyian peringkat Daerah Kluang. Program Peringkat Saringan ini akan diadakan di Pusat Membeli Belah KLUANG PARADE. Peserta yang terpilih akan ke peringkat seterusnya untuk mencari 2 peserta terbaik mewakili daerah Kluang ke peringkat negeri yang akan diadakan pada 2 Oktober 2011 di Stadium Tertutup Johor Bahru, Johor.

Anjuran Dan Kerjasama
Program Mencari Bintang Masyhur 1Malaysia sempena Jelajah Masyhur 1Malaysia ini dianjurkan oleh Akademi Tatihseni Malaysia Negeri Johor bersama Noraniza idris Production Ventures Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara , Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia Dan Sukan Negara.
Program ini turut dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Kluang dan Kluang Parade.

Apa Keperluan Peserta yang perlu dibawa?
Peserta hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, cakera padat VCD karaoke , satu lagu wajib berkonsep Etnik & Kreatif serta satu lagu pilihan berkonsep Pop masakini. Sasaran umur peringkat kanak-kanak adalah berusia 9 tahun hingga 17 tahun dan peringkat dewasa adalah 18 tahun ke atas. Yuran bagi kedua-dua kategori adalah RM30.00 seorang untuk kanak-kanak manakala RM60.00 seorang untuk dewasa.

Peringkat Awal Jelajah Masyhur 1Malaysia
Pertandingan Peringkat Awal Daerah Kluang ini adalah bersempena program Jelajah Masyhur 1Malaysia. Daerah Kluang menjadi daerah yang pertama menganjurkannya. 

Peserta Yang Tidak Terpilih
Peserta yang tidak terpilih boleh menyertai dengan membayar yuran semula untuk ke peringkat saringan kedua. Peringkat saringan kedua ini akan diadakan pada tarikh yangs sama diadakan peringkat Suku Akhir Daerah Kluang.

 Peserta Yang Terpilih
Manakala seramai 5 orang peserta yang terpilih melalui Peringkat Saringan Pertama dan Kedua ini akan ke peringkat Suku Akhir pada Julai 2011 untuk memilih 2 peserta yang terbaik ke peringkat Separuh Akhir pada 25 September 2011 di Johor Bahru, Johor.   

Keistimewaan Program ini
Keistimewaan program ini adalah setiap peserta akan melalui pemilihan peringkat Separuh Akhir bersama peserta-peserta dari Daerah yang lain. Program ini akan memperlihatkan bakat dan kreativiti setiap peserta mempelbagaikan persembahan dengan gaya tersendiri. Setiap kreativiti mewarnai persembahan adalah atas inisiatif setiap peserta dan akan diadili oleh Juri-Juri Profesional yang didatangkan khas ke program ini.

Pemilihan ke Peringkat Akhir
Seramai 5 peserta sahaja dari 16 peserta keseluruhan setiap daerah yang terbaik akan dipilih ke pringkat Akhir yang akan diadakan pada 2 Oktober 2011 di Stadium Tertutup MBJB Johor Bahru Johor. 
  
Peringkat Akhir Bintang Masyhur 1Malaysia
Seramai 5 peserta terbaik yang terpilih pada 25 September 2011 akan melalui latihan intensif  bersama Noraniza Idris ,artis utama yang menjadi ikon kepada Masyhur 1Malaysia dan artis-artis yang diundang khas ke Konsert Cintaku Satu Masyhur 1Malaysia. Setiap peserta ini akan bertanding melalui sebuah lagu berkonsep Pop di acara selingan Konsert manakala lagu etnik dan kreatif ke dalam setiap slot Konsert CintaKu Satu Masyhur 1Malaysia bersama artis-artis lain.

Setiap peserta akan merasai debaran dan pengalaman yang dilalui sebagai seorang artis dalam mempersembahkan setiap lagu-lagu etnik seluruh Malaysia bergandingan dengan artis utama dan artis undangan yang lain. Kelima-lima peserta ini akan bergandingan mewarnakan corak nyanyian dan persembahan masing-masing dalam acara unik ini.

Penilaian Juri
Juri akan menilai dari sudut kekuatan dan keyakinan setiap peserta membuat persembahan yang menghiburkan melalui lagu-lagu yang diberikan di saat-saat akhir ke Konsert ini dilaksanakan. Peserta perlu mempelajari pelbagai rentak dan lenggok nyanyian yang menjadi nadi kepada setiap identiti etnik kaum yang dipersembahkan.

Hadiah Pemenang
Hadiah Pemenang adalah berbentuk Piala Masyhur 1Malaysia , wang tunai, barangan dan sijil. Setiap peserta pemenang akan dijadikan sebagai Artis Tatihseni yang akan dibawa menjelajahi negeri-negeri seterusnya.

   

No comments:

Post a Comment